Kerajaan diberi masa sehingga setahun selepas 100 hari dari tempoh manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) sama ada harga barang dan kos sara hidup rakyat dapat diturunkan seperti janji mereka sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Cabaran itu diberikan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Umno- Bagan Datuk), yang berkata, tempoh setahun itu bermula pada 1 September iaitu selepas pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Saya mahu lihat penurunan pendapatan ini dan kononnya mahu dipindahkan untuk beri keuntungan dan kos sara hidup kepada rakyat.
“Kita tunggu sahajalah 1 September bila ia (SST) dilaksanakan dan kita beri tempoh 100 hari (tunai manifesto), selepas tu kita beri setahun.
“Selepas 1 September adakah harga barangan dan kos sara hidup dapat dikurangkan dengan pengenalan semula SST,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di lobi parlimen, hari ini.
Zahid Hamidi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan SST yang akan bermula 1 September ini.
Salah satu dari sepuluh janji HARAPAN dalam manifestonya menjanjikan agar GST yang dikatakan menyebabkan harga barangan meningkat akan digantikan dengan SST.
Langkah kerajaan memperkenalkan semula SST akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Ogos ini, selain menghapuskan GST yang diperkenalkan sejak 1 April 2015.
Zahid juga mengkritik pengenalan semula SST dengan menganggap ia hanya dilakukan oleh negara-negara mundur.